Latar Belakang Sekolah

Seri Lalang merupakan sebuah pekan kecil yang terletak di km 8, Jalan Kluang - Air Hitam. Seri Lalang merupakan pekan sempadan yang memisahkan antara Daerah Kluang dan Daerah Batu Pahat. Pada tahun 1948 hanya terdapat sebuah sekolah Melayu yang berdindingkan papan dan beratapkan rumbia manakala sekolah menengah tiada langsung di pekan ini. Pekan ini telah berkembang dengan pesatnya dari semasa ke semasa. Kepesatan pembangunan ini dapat dibuktikan dengan munculnya beberapa kawasan perumahan baru yang telah dibangunkan seperti Taman Ria dan Taman Bahagia. Pada ketika itu pelajar-pelajar sekolah menengah bersekolah di beberapa buah sekolah yang terletak di Bandar Kluang seperti SMK Taman Kluang Barat, SMK Tun Hussien Onn dan SMK Convent, yang jauhnya lebih kurang 8 km dari kawasan mereka. Keadaan ini mengundang kerumitan kepada para pelajar dari segi pengangkutan.

Oleh hal yang demikian pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Johor telah berusaha untuk mencari kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan sekolah. Justeru, SMK Seri Lalang telah dibangunkan di satu kawasan seluas 14 ekar kira-kira 16 km dari Bandar Kluang dan 8 km dari Pekan Seri Lalang. Walaupun kedudukan sekolah ini terletak di daerah Batu Pahat dari segi pentadbiran pihak berkuasa tempatan tetapi dari segi pentadbiran pendidikan sekolah ini termasuk dalam kawasan Pejabat Pendidikan Daerah Kluang. Hal ini demikian kerana jarak kedudukan sekolah dengan pejabat pendidikan diambil kira. Justeru jika diperhatikan nama cadangan awal projek ini ialah mereka bentuk, membina dan menyiapkan SMK SERI LALANG, BATU 60 ¾, JALAN AIR HITAM – KLUANG, MUKIM SRI GADING, BATU PAHAT.

Bangunan SMK Seri Lalang yang sepatutnya siap pada 24 November 2002 dan mula beroperasi pada Jun 2003 gagal disiapkan pemaju berikutan masalah kekurangan tenaga buruh. Namun begitu, SMK Seri Lalang tetap memulakan operasinya pada September 2003 dengan menumpang di bangunan SMK Dato Menteri Ayer Hitam sehingga bangunan SMK Seri Lalang siap untuk digunakan pada 1 Januari 2004. Pada 1 September 2003, sekolah ini mula menerima pelajar perintis seramai 53 orang pelajar tingkatan 1 yang ditempatkan dalam 2 buah kelas. Pada tahun berikutnya, sekolah-sekolah rendah yang menghantar pelajar mereka untuk meneruskan persekolahan menengah di sekolah ini ialah SRK Air Hitam, SRK LKTP Ayer Hitam, SRK Seri Lalang dan SRJK(C) Sri Lalang. Pengetua pertama yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pentadbiran sekolah ini ialah Pn. Hjh. Robiah binti Hj. Ahmad mulai 16 Jun 2003 sehingga Disember 2008 dengan bimbingan Pn. Normah binti Jantan Pengetua, SMK Jalan Batu Pahat. En. Shahat bin Mohd. Shah pula telah dilantik sebagai Penyelaras sekolah ini pada 1 September 2002 bagi menguruskan penerimaan perabot, peralatan, pendaftaran pelajar-pelajar baru dan menangani pelbagai masalah yang timbul untuk dirujuk kepada pihak PPD Kluang. Bilangan guru yang asalnya 23 pada tahun pertama pembukaan sekolah ini, kini telah bertambah sehingga 64 orang pada tahun 2009 selaras dengan pertambahan pelajarnya yang berjumlah 850 orang pada masa kini.

Pengetua yang menerajui pentadbiran sekolah ini mulai tahun 2009 ialah Pn. Hjh. Hanim binti Abdullah. Mulai tahun 2009 menyaksikan SMK Seri Lalang telah diberi kepercayaan sebagai sekolah perintis bagi Projek MS ISO 9001 : 2008, Program Sekolah Lestari dan Program BCCC. Pada tahun 2010 bangunan asrama telah siap sepenuhnya untuk menerima kemasukan pelajar Rancangan Khas Agama (KAA) yang telah pun mendaftar pada awal 2010. Pelajar perintis KAA ini adalah diharapkan akan menyuntik semangat dan iltizam yang baru dalam kalangan guru, kaki tangan dan para pelajar sekolah ini.




LENCANA / JATA SMKSL
 KETERANGAN SIMBOL

Rangka luar lencana berbentuk huruf Q yang bermaksud “Quality” yang mempunyai hasrat di dalam misi sekolah ke arah membudayakan warganya bekerja dengan berkualiti. Bagi melahirkan pelajar yang berkualiti dalam aspek sahsiah dan ilmu pengetahuan

Bulatan menggambarkan kesepaduan semua warga sekolah dalam semua aspek. Kesepaduan dalam membuat keputusan dan menangani masalah di dalam sekolah, saling bekerjasama dan saling sayang menyayangi dalam kalangan warga sekolah. Kesempurnaan dan globalisasi dari segi perkongsian maklumat secara berkesan dan pembentukan insan yang boleh berfungsi melangkaui sempadan daerah dan negara sehingga ke peringkat serantau dan antarabangsa. Kesepaduan antara guru,pelajar,staf sokongan,ibu bapa dan komuniti luar.

Separuh bulatan bergerigi melambangkan sains dan teknologi. Sekolah menekankan bahawa mata pelajaran sains adalah penting terutamanya dalam mata pelajaran sains dalam bahasa Inggeris . Menitikberatkan bidang pendidikan yang lebih luas dan berkembang sesuai dengan aspirasi kerajaan untuk mengembangkan sayap perindustrian serta sains dan teknologi.

MOTO
ILTIZAM– JATIDIRI –UNGGUL Iltizam –Bermaksud semua warga sekolah memberikan sepenuh tenaga dan perhatian atau memberikan sokongan dan azam yang sepenuhnya kepada sekolah.

Jati diri- Bermaksud semua warga sekolah mempunyai jiwa yang sejati , asli, murni tulen dalam menjalankan tugas dan sebarang tanggungjawab yang diberikan.

Unggul – Bermaksud semua warga SMKSL sentiasa bekerja melebihi yang lain, yang terbaik dan teristimewa.

Lambang Multimedia Super Corridor.
Bermaksud : Sejajar dengan perkembangan dan kemajuan teknologi maklumat, mengharap semua warga sekolah celik IT dan mampu menggunakan teknologi maklumat untuk kehidupan masa hadapan mereka.

Buku bermaksud penimbaan, pencarian dan penyebaran ilmu sebagai tunggak kejayaan dan kecemerlangan. Gedung ilmu yang unggul.


Bulatan lima bertindan melambangkan sekolah sebagai institusi yang penuh dengan kesetiaan , kerjasama, perpaduan dan permuafakatan di antara para pelajar dan tenaga pendidik juga sukan dan permainan diberikan kepada pelajar untuk mengamalkan aktiviti yang sihat untuk semua warga sekolah ini.

Mikroskop melambang kepada kemahiran belajar pelajar khususnya dalam mata pelajaran sains dan mata pelajaran bahasa amnya.


Warna Merah melambangkan keberanian dan tegas secara rohani dan jasmani dalam mengharungi cabaran dan perubahan dalam arena pendidikan secara positif khususnya keberanian para pelajar menampilkan diri dan mempunyai pemikiran yang kritis dan kreatif dalam arena akademik dan kokurikulum serta berani menempuh cabaran untuk menuju kejayaan dalam semua bidang dan sentiasa bercita-cita tinggi.

Warna kuning melambangkan keunggulan, kebanggaan, kekayaan, pendidikan serta kesetiaan dan kedaulatan yang tinggi terhadap raja dan negara.

Warna putih melambangkan kesucian, kejujuran dan sifat-sifat terpuji dan keikhlasan budi pekerti secara rohani dan jasmani dalam segala tindakan.

Warna biru melambangkan perpaduan dan permuafakatan, ketenangan, keceriaan dan kecintaan yang harmonis dalam institusi dan masyarakat serta mempunyai aspirasi yang tinggi dalam usaha meraih kejayaan.



LAGU SMK SERI LALANG

SMK Seri Lalang
Sekolah menjadi kebanggaan kita
Menabur jasa sepanjang masa
Jadilah kita insan yang berguna

Berikrar kita bersama
Bersungguh-sungguh kita menimba ilmu
Bertekad kuat hingga berjaya
Ilmu di curah manfaat bersama

korus:
Iltizam itu hasrat kita
Jati diri perkasa jiwa
Keunggulan menjadi cabaran
Harapan cipta kejayaan

Marilah kita semua
Terus usaha berbakti membuat jasa
Guru kau pemangkin bangsa terkemuka
Jasa mu sekolah tak akan ku lupa

(ulang korus dan rangkap 4)
Guru kau pemangkin bangsa terkemuka
Jasa mu sekolah tak akan ku lupa

Lirik & lagu oleh:
En. Radzali Mohd Noor. PPN



VISI SEKOLAH

Sekolah SMK Seri Lalang Menjadi Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang


MISI SEKOLAH
Melahirkan Modal Insan Cemerlang Melalui Pendidikan Berkualiti


MOTTO SEKOLAH

ILTIZAM-JATI DIRI –UNGGUL

BUDAYA SEKOLAH

Setiap warga SMK Seri Lalang bertanggungjawab mengamalkan budaya berikut::

• Menepati masa
• Berakhlak mulia
• Budaya ilmu
• Budaya penyayang
• Budaya kerja cemerlang
• Budaya kolaboratif
• Budaya cintakan alam sekitar
• Budaya berterima kasih


OBJEKTIF SEKOLAH


• Mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam aspek keselamatan, kebersihan dan keceriaan.
• Membudayakan warga sekolah penyayang, hormat-menghormati dan bertanggungjawab.
• Melahirkan pelajar yang berpotensi dan berdaya saing dalam bidang kurikulum, kokurikulum dan ICT.
• Melahirkan pelajar yang berjati diri mulia, berfikiran positif dan dinamik
• Mewujudkan budaya ilmu dan pembelajaran cemerlang.
• Mengamalkan budaya kerja yang proaktif dan komitmen tinggi bagi warga sekolah .
• Mewujudkan hubungan baik dan sentiasa bekerjasama dengan komuniti



PIAGAM PELANGGAN SEKOLAH


Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Lalang berikrar dan berazam akan,...

• Menyediakan persekitaran yang kondusif dan harmonis.
• Memastikan semua pelajar mendapat proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan terkini.
• Memastikan seluruh warga sekolah menepati masa dalam segala urusan
• Mengamalkan pengurusan yang berkesan
• Menjana ilmu menerusi teknologi maklumat
• Mengamalkan budaya mesra pelanggan
• Sentiasa berusaha dan memberi kerjasama kepada semua pihak.